Saturday 18 February 2017

Permudahkan Kebaikan Walaupun Payah

Assalammualaikum w.b.t... Salam i-Sihat, u sihat.. Insya-Allah, kita semua sihat.. Kebelakangan ni admin sedikit sibuk dengan jadual kerja.. Alhamdulillah, dengan amalkan minum Premium Berry, admin sentiasa bertenaga dan kekal sihat..

HAKIKATNYA dunia ini merupakan ladang akhirat. Demikianlah maksud hadis yang mengisyaratkan untuk kita berusaha menanam dan menyemai segala benih kebaikan untuk dituai hasilnya di akhirat sana.

 
Seorang mukmin sejati sudah tentu di dalam fikirannya hanya memfokuskan bagaimana untuk menambah saham kebaikan. Oleh itu seorang mukmin yang bertakwa secara tabiinya akan wujud perasaan untuk melakukan memberi manfaat kepada orang lain.


Ini kerana dia amat memahami untuk mendapat kemuliaan dan kesenangan hidup di dunia dan akhirat dengan cara sentiasa memberi khidmat dan melakukan kebaikan kepada orang lain.


Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menyelesaikan sesuatu kepayahan seseorang yang beriman di dunia, orang akan menyelesaikan kepayahannya di hari kiamat. Sesiapa yang mempermudah seseorang yang menghadapi kesukaran, ALLAH akan mempermudah untuknya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup aib seseorang Muslim, ALLAH akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Dan ALLAH sentiasa menolong seseorang hamba, selagi mana dia menolong saudaranya.” (Riwayat Muslim).


Hakikatnya, merekalah orang yang terbaik dan dekat dengan rahmat ALLAH. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling memberi manfaat kepada orang lain.” (Hadis Hasan, riwayat at-Tabrani)


Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya rahmat ALLAH itu dekat kepada orang yang melakukan kebaikan." (Surah Al-A'raf: 56)


Dalam kehidupan ini sering kali apabila kita melakukan sesuatu kebaikan, pasti ada golongan yang tidak senang dengan apa yang kita lakukan. Ini sesuai dengan kata-kata Imam Syafie:
“Mencari keredaan manusia itu adalah suatu matlamat yang tidak akan dapat dicapai, dan mencapai reda ALLAH itu adalah matlamat yang tidak dapat ditinggalkan. Maka tinggalkanlah apa (iaitu reda manusia) yang tidak akan dapat dicapai, dan capailah apa (iaitu reda ALLAH) yang tidak dapat ditinggalkan.”


Dalam hal ini, cukuplah kita ikhlaskan diri kita, bersabar dan tetap bersungguh-sungguh melakukan sesuatu kebaikan itu dengan cara yang terbaik, kerana ALLAH jualah sebaik-baik Penilai dan Dia Maha Mengetahui isi hati hamba-Nya.


Pastinya ALLAH tidak akan sesekali mensia-siakan kebaikan yang dilakukan oleh seseorang. “Dan sabarlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu dalam mengerjakan suruhan ALLAH), kerana sesungguhnya ALLAh tidak akan menghilangkan pahala orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Hud: 115)


Manusia yang kotor mata hatinya hanya melihat keburukan di atas setiap kebaikan orang lain. Manusia sebegini bagaikan mata lalat yang hanya mahir dan terpesona untuk mencari sisa-sisa kekotoran walau sebesar kuman di sebalik keindahan bunga-bungaan yang beraneka warna dan kecantikan. Malah manusia seperti ini sering kali berlagak seperti Tuhan seolah-olah mampu menerobos jauh ke dalam hati sanubari seseorang bagi menentukan keikhlasan mereka melakukan sesuatu kebaikan.


Mungkin mereka terlupa bahawa soal hati adalah urusan seseorang hamba dengan Tuhannya. Siapakah kita untuk mengambil alih urusan Tuhan dan meletakkan hukum dalam hal ini? Kata-kata Imam Syafei yang masyhur: “Kami hanya menjatuhkan hukum berdasarkan apa yang zahir, dan ALLAH yang menguruskan apa yang tersirat.”


Dalam sesetengah keadaan, seseorang menzahirkan sesuatu kebaikan yang dilakukannya terutamanya mereka yang bergelar pemimpin bagi mengelakkan diri mereka daripada fitnah yang memudaratkan dan menjadikan kebaikan itu sebagai contoh teladan kepada rakyat.


Lihatlah bagaimana al-Quran memuji seseorang yang bersedekah sama ada secara terang-terangan atau secara sembunyi sebagaimana disebut dalam Surah Al-Baqarah, ayat 271. Ingatlah bahawa jika kita senang untuk menerima kebaikan dari orang lain, maka hendaklah kita juga senang melakukan kebaikan yang sama kepada orang lain, kerana apa sahaja yang kita lakukan sama ada baik atau buruk, begitulah kita akan dibalas.

Firman ALLAH: “Bukankah tidak ada balasan bagi amal baik melainkan balasan yang baik juga?” (Surah Ar-Rahman: 60)


Justeru, usahlah kita kecewa dan berputus asa jika dipandang serong, mahupun dilempar dengan pelbagai fitnah dan tohmahan, lantaran kebaikan yang kita lakukan. Apa yang penting, ALLAH reda dengan perbuatan kita kerana Dialah Yang Maha Penilai dan Pembalas segala kebaikan.


*Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
-------------------------------------------------------------
Sebarkanlah kebaikan!
#iSihatYouSihatSemuaSihat
#iSihatHadiahTerbaikBuatDirimu
SUMBER


Nota Que: Zaman sekarang ni, kebaikan yang dilakukan sering dipandang sepi.. Teguhkanlah hati untuk terus melakukan kebaikan demi mendapat reda Illahi..

No comments:

Post a Comment